Tular wanita asnaf berang, MAIWP perjelas dah beri enam jenis bantuan sejak 2018
Luahan rasa tidak puas hati seorang wanita asnaf berhubung pemberian lampin pakai buang kepada anaknya yang tular di media sosial akhirnya terjawab.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pelbagai jenis bantuan sudah disalurkan kepada keluarga tersebut mulai tahun 2018.
Antaranya seperti bantuan kewangan bulanan, bantuan menyelesaikan hutang, bantuan khas kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), bantuan perubatan am, bantuan sewa rumah bulanan, bantuan perniagaan dan bimbingan keusahawanan serta bantuan-bantuan lain yang disediakan di MAIWP.
Dalam kenyataan baru-baru ini, MAIWP berkata, pihaknya mengambil cakna dan prihatin terhadap keperluan asnaf yang memerlukan pada masa yang sama, memegang amanah pembayar zakat dalam memastikan dana zakat diagihkan seperti mana yang disyariatkan.
Terdahulu, wanita terbabit mendakwa wujud kesilapan dan kelewatan dalam pemberian lampin pakai buang kepada anaknya yang sepatutnya menerima jenis pants, tetapi diberikan jenis tape di bawah skim Bantuan Perubatan MAIWP.
Tender terbuka
Mengulas lanjut, MAIWP berkata, pemberian bantuan berbentuk barangan dan peralatan perlu melalui proses perolehan tender terbuka yang berkuat kuasa.
Jelasnya, pembekal dilantik adalah mengikut zon yang ditetapkan bagi memastikan ketelusan dalam pembekalan.
“Berhubung aduan yang tular itu, MAIWP akan membuat penilaian semula sekiranya terdapat keperluan khas perubahan spesifikasi pembekalan yang dipohon,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak RM47.69 juta disalurkan kepada 6,398 asnaf sepanjang tahun lalu di bawah Skim Bantuan Perubatan MAIWP, manakala pada tahun ini, Maiwp memperuntukkan RM60.1 juta untuk skim bantuan berkenaan.
“Pemberian bantuan ini membabitkan bantuan secara bulanan dan juga pemberian secara sekali beri (one off) mengikut keperluan asnaf dengan dokumen sokongan daripada pakar perubatan yang bertauliah.
“MAIWP sentiasa terbuka menerima aduan dan pandangan masyarakat sebagai ruang penambahbaikan dalam sistem pemantauan dan pengesahan bantuan.
“Segala usaha akan terus digerakkan agar kebajikan dan keperluan asnaf sentiasa terpelihara dan amanah pembayar zakat sentiasa menjadi keutamaan MAIWP,” menurut kenyataan itu lagi.
BACA JUGA Sistem kewangan Islam tidak boleh terhenti hanya pembiayaan bebas riba