Akhirnya pemandu bas bawa penuntut UPSI ditahan
Selepas tiga hari tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, akhirnya pemandu bas terbabit ditahan polis.
Lelaki berusia 39 tahun berkenaan ditahan jam 5.45 petang tadi selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pemandu yang cedera di tangan itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Dia dikehendaki untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.

Individu berkenaan dilapor diiringi tiga anggota polis, dipercayai dari IPD Gerik, sebelum mereka meninggalkan perkarangan hospital.
Terdahulu, polis mengesahkan pemandu bas itu mempunyai 18 saman yang masih belum diselesaikan lagi, dengan 13 daripadanya dikeluarkan atas kesalahan memandu laju.
Sementara itu, satu saman membabitkan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
Kesalahan trafik
Dalam masa sama, bas remuk teruk itu turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik dengan lima saman masih dalam siasatan.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle (foto atas) memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat.
Dia yang dikatakan berpengalaman memandu bas sejak 2016 mendakwa brek bas tersebut tidak berfungsi secara tiba-tiba.
Jam 1.15 pagi 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama universiti itu terbabit kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat di Gerik.
Menerusi video kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial, bas tersebut dilihat hilang kawalan lalu terbalik dan melanggar besi penghadang jalan serta Perodua Alza.
BACA JUGA PM amat dukacita nahas pesawat Air India