Laporan awal nahas trak RFU tak jumpa bukti stereng lori pasir gagal berfungsi
Laporan awal Kementerian Pengangkutan mendedahkan tiada bukti yang menunjukkan sebarang kegagalan fungsi sistem stereng seperti yang didakwa oleh pemandu lori pasir dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini.
Sebaliknya, pemeriksaan pasca-kemalangan mendapati tanda-tanda pemanasan melampau pada brek dram, dipercayai akibat penggunaan brek secara berlebihan semasa kejadian.
“Secara keseluruhan, berdasarkan pemeriksaan teknikal semua sistem mekanikal utama lori seperti brek, tayar, stereng dan suspensi didapati berada dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Tiada bukti yang menunjukkan bahawa sebarang kegagalan mekanikal telah menyumbang secara langsung kepada kemalangan ini,” menurut laporan awal Kementerian Pengangkutan.
Pemandu lori sebelum ini mendakwa stereng lori gagal berfungsi, namun dapatan teknikal tidak menyokong dakwaan tersebut.
Sementara itu laporan turut mendedahkan bahawa lori pasir terbabit diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya untuk mengangkut arang batu, dengan ketinggian pagar sisi dibenarkan sebanyak 1,016 mm.
Namun, semasa kejadian, lori tersebut dikesan membawa batu kerikil dengan muatan yang tidak selaras dengan kelulusan asal.
Menurut spesifikasi teknikal JPJ, kenderaan yang membawa bahan binaan seperti pasir atau batu kerikil hanya dibenarkan sekiranya pagar sisi tidak melebihi 762 mm.
“Namun demikian, semasa kejadian, lori tersebut dikesan membawa muatan batu kerikil, yang tidak selaras dengan kelulusan asal,” ujar laporan itu.
BACA JUGA Semua masjid di Pahang diminta anjur solat ghaib malam ini – Mufti Pahang