Mahathir dan ‘khemah besar’ helah politik runtuhkan demokrasi, bangsa

Oleh DR SHAH NOR BASRI

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia yang pernah dua kali menerajui kerajaan, kini kembali muncul dalam lanskap politik melalui platform baharu dikenali sebagai ‘khemah besar’.

Disokong oleh Pas dan Bersatu, gabungan ini didakwa berjuang untuk menyelamatkan Melayu dan Islam yang kononnya terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, analisis yang jujur dan bersandarkan fakta menunjukkan sebaliknya. Ini bukan gerakan penyelamat tetapi suatu percubaan terancang untuk meruntuhkan demokrasi, meracuni perpaduan nasional, dan memperalatkan sentimen etno-agama demi kelangsungan politik peribadi.

1) Kekecewaan peribadi: Punca gerakan retorik “penyelamat Melayu”

Tun Mahathir secara konsisten menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sejak zaman Reformasi 1998.

Ketiadaan sebarang kesepakatan sejak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2020 dan tindakan Anwar mengetengahkan agenda Malaysia Madani yang inklusif dan progresif ternyata bercanggah dengan pendekatan autoritarian etno-nasionalis Mahathir.

Dalam satu wawancara bersama The Star (2023), Mahathir menuduh kerajaan Anwar gagal membantu orang Melayu dan menyifatkan “Melayu kini menjadi kaum terpinggir”.

Namun, kenyataan itu tidak disokong oleh data dan tidak mengambil kira pelbagai program pembaharuan ekonomi dan pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Malah, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan pelbagai insentif kepada usahawan Bumiputera, menyelamatkan MARA, dan mengukuhkan peranan institusi Melayu secara keseluruhan.

Mahathir Mohamad
2) Pas dan Bersatu: Gabungan taktikal bukan ideologikal

Pas dan Bersatu menyertai khemah besar atas dasar kepentingan politik bersama bukan prinsip.

Pas pernah menuduh Mahathir sebagai sekular dan diktator, manakala Mahathir pula pernah mempersoalkan kemampuan Pas mentadbir ekonomi.

Namun, hari ini mereka berpadu atas satu matlamat: menjatuhkan Anwar.

Gabungan itu bersifat hipokrit dan oportunis. Ia menonjolkan isu kaum dan agama sebagai senjata.

Walhal, rekod pentadbiran negeri seperti Kelantan dan Terengganu di bawah Pas menunjukkan kegagalan mengurus ekonomi, kebersihan, dan pelaburan luar.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukan Kelantan kekal sebagai negeri paling miskin di Malaysia, dengan kadar kemiskinan mutlak 12.4% pada 2022.

3) Retorik “Melayu terpinggir” tidak bersandarkan fakta

Mahathir mendakwa Melayu terpinggir, tetapi laporan ekonomi negara membuktikan bahawa penglibatan Melayu dalam sektor pendidikan tinggi, keusahawanan, dan perkhidmatan awam kekal dominan.

Menurut laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) 2023:

• 73% penjawat awam terdiri dalam kalangan Bumiputera
• 67% pemilikan rumah oleh Bumiputera.
• 80% penerima biasiswa kerajaan adalah Melayu.

Malah, dasar-dasar pro-Melayu seperti MARA, Felda, UiTM dan PNB terus diperkuatkan oleh kerajaan Anwar tanpa menggugat hak kaum lain.

Oleh itu, naratif “penyelamatan Melayu” yang dibawa oleh khemah besar adalah alat politik untuk mencetuskan kebencian kaum, bukan solusi dasar.

Kerajaan MADANI menunjukkan komitmen membela penjawat awam termasuk kenaikan gaji besar penjawat awam selepas lebih 11 tahun tiada semakan menyeluruh.
4) Sokongan yang pelik: P. Ramasamy, MIPP sertai khemah “Melayu”

Apa yang lebih mengelirukan ialah apabila bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P. Ramasamy, turut menyokong gagasan ini — suatu gerakan yang terang-terangan memperjuangkan retorik perkauman Melayu-Islam.

Lebih ironi, beliau bersama parti politik kecil India, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia), yang langsung tiada akar umbi kuat, tampil memberi sokongan terhadap Mahathir dan kelompok sayap kanan Melayu.

Sokongan itu menimbulkan persoalan besar: Apakah rasional seorang tokoh bukan Melayu yang selama ini mengkritik dasar-dasar keistimewaan Melayu, kini menyertai sebuah gerakan yang kononnya mahu “menyelamatkan Melayu”?

Ini bukan soal prinsip, tetapi bukti nyata bahawa khemah besar hanya menghimpunkan tokoh-tokoh kecewa dan oportunis politik — satu kerjasama longgar tanpa asas ideologi yang kukuh.

5) Kesan terhadap demokrasi dan perpaduan

Gabungan Mahathir-Pas-Bersatu menyuburkan budaya ketakutan dan polarisasi kaum. Retorik mereka mengajak rakyat membenci sistem sedia ada dan menolak pilihan demokrasi yang sah. Tindakan seperti:

• Menuduh pilihan raya tidak sah tanpa bukti,
• memboikot program kerajaan bersifat inlusif,
• Menolak institusi raja berpelembagaan secara halus (melalui penghakisan keabsahan kerajaan yang diperkenan oleh YDPA).

Semuanya itu bertentangan dengan prinsip demokrasi Raja Berperlembagaan.

Dalam kenyataan media pada Mei 2024, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa kumpulan khemah besar berperanan sebagai “agen subversif terhadap kestabilan nasional dan kesepakatan kaum”.

6) Strategi melemahkan negara bukan menyelamat

Dengan menabur naratif kononnya negara menuju kehancuran di bawah pentadbiran sedia ada, khemah besar sebenarnya:

• Menyukarkan pelabur antarabngsa untuk yakin terhadap Malaysia,
• memperlekehkan agensi institusi seperti SPRM, PDRM, dan Mahkamah yang kini lebih bebas,
• Mengalihkan fokus rakyat daripada agenda pembinaan semula negara pasca-pandemik.

Tujuan sebenar bukan menyelamat Melayu, tetapi mengangkat semula elit lama yang ditolak rakyat melalui proses pilihan raya.

Kesimpulannya, Mahathir, Pas dan Bersatu kini bersatu atas dasar kekecewaan dan ketamakan kuasa.

Mereka mengeksploitasi isu Melayu dan Islam bukan untuk membina, tetapi untuk menghancurkan demokrasi dan perpaduan rakyat.

Kehadiran figura seperti P. Ramasamy dan parti nyamuk seperti MIPP menambahkan lagi bukti bahawa gerakan itu hanyalah gabungan golongan kecewa yang tercicir daripada arus reformasi nasional.

Rakyat harus menolak naratif palsu ini dan menyokong usaha kerajaan yang sedang giat memulihkan institusi, membina ekonomi berasaskan nilai, dan merapatkan jurang antara kaum.

Malaysia tidak memerlukan penyelamat politik lama yang gagal, tetapi pembina negara yang ikhlas dan berpandangan jauh.

Khemah besar bukanlah harapan — ia adalah bayangan semalam yang patut ditinggalkan.

*DR SHAH NOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.

BACA JUGA Wan Fayhsal ‘disekolahkan’ selepas persoal kenapa ‘takut sangat’ dengan Yusoff Rawther