Wan Fayhsal ‘disekolahkan’ selepas persoal kenapa ‘takut sangat’ dengan Yusoff Rawther
Pemimpin Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengundang kecaman netizen selepas mempersoalkan permohonan Perdana Menteri untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang dikemukakan Muhammed Yusoff Rawther.
Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonan imuniti daripada tindakan saman.
“Apa yang kamu takut sangat dengan Yusuf Rawther tu kalau tak bersalah?
“Kenapa perlu dapatkan imuniti, tunda perbicaraan? Rakyat nak tanya betul ke tak ada berlaku jenayah sebegitu?” katanya menerusi hantaran di platform X.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam Ketua Pemuda Bersatu berkenaan.
“Kalau berlaku elemen jenayah sudah tentu dikesan oleh pihak berkuasa. Wajarkah drama seks fiksyen dibicarakan dalam mahkamah? Rakyat dah meluat dengan drama seks…,” kata Abdul Aziz Abdullah.
“Patutnya saman tu tak perlu sebab Mahkamah Tinggi pada tahun 2021 dah kata tak ada bukti serangan seksual berlaku. Buang masa PMX. Nampak sangat nak dipolitikkan isu ni,” tegas Apit Omar.
“Kes saman sivil bukannya kes berkaitan kes kesalahan jenayah yang boleh dihukum atas kesalahan jenayah!. Tiada pun pendakwaan pertuduhan kes jenayah di mahkamah jenayah dalam isu ini,” ujar pengguna X, @NamizoOzy.
Bukan soal imuniti peribadi
Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa usaha beliau untuk menangguhkan saman terhadapnya tidak sekali-kali bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi daripada litigasi.
“Perkara ini tidak pernah mengenai mencari imuniti peribadi atau melarikan diri dari pemeriksaan undang-undang.
“Ia membabitkan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin mengikut masa yang strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi,” kata Anwar pada pada 4 Jun lalu.
Pada 14 Januari 2020, dilaporkan Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Anwar atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff yang juga bekas pembantu penyelidik kepada Presiden PKR itu kerana kekurangan bukti.

Terdapat percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama, menurut Peguam Cara Negara ketika itu, Engku Nor Faizah Engku Atek.
Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara pada masa itu juga dilaporkan berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara tersebut dibuat berdasarkan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mendapati bukti diperoleh tidak cukup untuk membolehkan tindakan pendakwaan diambil.
Menurut Abdul Hamid lagi seperti dilapor pada 15 Januari 2020, sekiranya dibawa ke mahkamah sekali pun, buang masa kerana tidak cukup bukti.
BACA JUGA Bila siasatan skandal lebuh raya akan selesai? Ini respon Azam Baki