Semua 242 penumpang dan kru Air India maut, tiada rakyat Malaysia dalam pesawat terhempas

Seramai 242 penumpang dan kru pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas dari bandar Ahmedabad, India, hari ini, disahkan maut.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner kod AI171 berkenaan membawa 230 penumpang dan 12 kru dalam perjalanan dari Ahmedabad ke Lapangan Terbang Gatwick, di London, United Kingdom.

Lapor akhbar tempatan Indian Express, daripada 230 penumpang itu, 169 merupakan warga India, warga Britain (53), Portugal (tujuh) dan seorang warga Kanada.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada dalam pesawat tersebut.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam reaksinya berkata, nahas yang berlaku kira-kira sembilan minit selepas pesawat mendapat pelepasan untuk berlepas itu sebagai “mengejutkan dan menyedihkan semua orang”.

Aktor terkenal Shah Rukh Khan, 59, turut menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah.

Dalam catatan tulus di X, pelakon berkenaan berkata, “Sungguh sedih dengan berita tentang nahas di Ahmedabad… doa saya untuk mangsa, keluarga mereka, dan semua yang terjejas.”

Ekoran tragedi ngeri itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (SVPIA) di Ahmedabad telah ditutup sehingga dimaklumkan nanti.

Ekoran tragedi ngeri itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (SVPIA) di Ahmedabad telah ditutup sehingga dimaklumkan nanti.

Boeing 787 Dreamliner terkenal dengan teknologi canggih dan rekod keselamatan yang kukuh, tanpa kemalangan maut sebelum kemalangan tragis hari ini.

BACA JUGA PM amat dukacita nahas pesawat Air India