Berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat, hanya penumpang 11A terselamat nahas Air India

Awalnya pihak berkuasa India mengesahkan kesemua 242 penumpang Air India maut tetapi seorang lelaki rupanya masih hidup apabila dilihat berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat.

Mangsa yang merupakan seorang warga Britain terselamat dalam tragedi yang meragut nyawa 241 penumpang dan anak kapal lain.

Rakaman video tular memaparkan Vishwash Kumar Ramesh, 39, yang berkemeja-T putih dan seluar gelap berjalan di lokasi nahas dengan pakaian koyak dan darah mengalir di wajah.

Warga Britain yang berada di tempat duduk 11A itu dilapor mengalami kecederaan akibat hentakan pada bahagian dada, mata dan kaki.

“30 saat selepas berlepas, terdapat bunyi yang kuat dan kemudian pesawat itu terhempas. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Apabila saya bangun, ada mayat di sekeliling saya. Saya takut. Saya berdiri dan berlari. Serpihan pesawat di sekeliling saya,” lapor akhbar tempatan Indian Express.

Ramesh memberitahu dia sudah 20 tahun tinggal di London bersama isteri serta anaknya.

Dia berkata, kunjungannya di India selama beberapa hari untuk melawat keluarganya dan akan pulang ke United Kingdom bersama abangnya, Ajay Kumar Ramesh, 45, yang duduk di barisan berbeza di dalam pesawat itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Ahmedabad, GS Malik dilaporkan berkata, jumlah kematian belum dapat disahkan setakat ini namun menjangkakan angka korban mungkin lebih banyak memandangkan pesawat malang itu terhempas di kawasan bangunan asrama doktor.

Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu mengangkut 242 individu terdiri daripada 230 penumpang dan 12 anak kapal.

Daripada jumlah itu, 169 orang adalah warga India, Britain (53), Portugal (tujuh) dan seorang warga Kanada.

Ia terhempas pada 1.30 petang (4.10 petang waktu Malaysia) semalam sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel (SVPIA) di Ahmedabad.

BACA JUGA ‘Gunalah otak sikit’ – Siti Kasim marahkan netizen Melayu yang rasis terhadap Anthony Loke