Hamzah Zainuddin calon PM Perikatan Nasional? Bukan Muhyiddin?

Pas telah mengetengahkan pelan penstrukturan semula Perikatan Nasional supaya timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ketua Pembangkang menjadi calon Perdana Menteri pakatan tersebut.

Pelan tersebut akan menyaksikan Hamzah mengetuai sebuah jawatankuasa eksekutif yang akan memantau operasi PN.

Dalam pada itu, presiden Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP mengekalkan kedudukan mereka di dalam majlis tertinggi.

Menurut sumber langkah tersebut bertujuan untuk mengetengahkan Hamzah sebagai calon perdana menteri, lapor Malaysiakini.

“Struktur lain tidak berubah. Cuma satu jawatankuasa akan ditubuhkan,” kata sumber tersebut.

Sementara seorang pemimpin Bersatu berkata Pas tidak kepingin untuk mendapatkan jawatan nombor satu negara.

Pelan penstrukturan ini telah dibincangkan dalam satu mesyuarat peringkat tinggi pada 18 Feb di Kuala Lumpur membabitkan 10 pemimpin tertinggi PN – lima dari Pas dan lima, Bersatu.

Ia dipengerusikan oleh presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan dihadiri timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bersatu diketuai oleh naib presiden Radzi Jidin. Ia turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pelan ini bagaimanapun dibantah oleh kumpulan yang menyokong setiausaha agung Bersatu Datuk Azmin Ali.

Mereka mahukan majlis sekretariat PN yang diketuai oleh Azmin.

BACA JUGA: Wan Fayhsal ‘disekolahkan’ selepas persoal kenapa ‘takut sangat’ dengan Yusoff Rawther