Jabatan Peguam Negara dah ingatkan elak kenyataan spekulatif, MP PN ini komen ‘4R’
Pemimpin Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat secara sinis meninggalkan komentar ringkas ‘4R’ walaupun Jabatan Peguam Negara sudah menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat penyataan bersifat spekulatif atau berbaur fitnah.
Gesaan Jabatan Peguam Negara itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.
“Jabatan ini akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya.
Walau bagaimanapun, pembangkang dilihat membuat penyataan berbaur fitnah dan di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.
Antaranya, pengguna X, Rafique Rashid yang mengaitkan dengan larangan membuat kenyataan menyentuh isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.
“Dulu 3R. Campur 1 lagi R. Rawther. Kebebasan bersuara jangan disekat,” katanya yang kemudian dikongsi Wan Fayhsal.
BACA JUGA Wan Fayhsal ‘disekolahkan’ selepas persoal kenapa ‘takut sangat’ dengan Yusoff Rawther