MOT umum tiga langkah segera kawal kenderaan berat, ini yang ditunggu orang ramai
Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah mengumumkan tiga langkah segera bagi mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Kesemua langkah itu susulan tragedi melibatkan bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 9 Jun lalu.
Pertama, penggunaan peranti had laju (SLD) dikuatkuasakan secara berperingkat ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran mulai 1 Oktober depan.
SLD akan mengehadkan kelajuan untuk kenderaan berat kepada 90 km/j sahaja namun mereka perlu patuh pada had laju kawasan yang dilalui.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penguatkuasaan yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dilaksanakan buat permulaan kepada semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat maksimum 3,500 kilogram (kg) yang didaftar bermula 1 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa pemandu terbabit wajib mendapatkan pengesahan kefungsian dan laporan SLD daripada pengilang/ pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ selain badan pensijilan bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia.
Dokumen pengesahan kefungsian dan laporan SLD ini wajib diperbaharu setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serta ketika permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, dokumen berkenaan juga perlu dibawa setiap masa bagi tujuan penguatkuasaan JPJ.

Pengaktifan SLD dalam unit kawalan elektronik (ECU) turut diwajibkan ke atas kenderaan barangan berat maksimum 3,500kg serta membawa penumpang lebih lapan orang sebelum 1 Januari 2026.
Penguatkuasaan itu turut terpakai untuk kenderaan rebuild dan kenderaan barangan import terpakai berat maksimum 3,500kg.
Kenderaan yang melebihi berat 3,500kg dan kenderaan membawa lebih lapan penumpang yang tidak dilengkapi SLD turut diwajibkan memasang peranti secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ sebelum 1 Julai tahun depan.
Pemandu bermasalah
Kedua, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membangunkan satu sistem pangkalan data melibatkan semua pemandu pengangkutan awam termasuk bas ekspres dan persiaran.
Pangkalan data itu bagi memudahkan pihak berkuasa menyemak rekod lampau pemandu bermasalah, sekali gus menyenarai hitam mereka daripada terus mengoperasikan kenderaan awam.
Ketiga, MOT melalui JPJ akan melaksanakan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) secara besar-besaran ke atas semua syarikat pengendali pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan.
JISA sebelum ini telah dilaksanakan secara berkala dan rawak terhadap syarikat-syarikat pengendali, terutamanya yang dikenal pasti berisiko tinggi atau terlibat dalam kemalangan.
Namun, pendekatan sedia ada tidak mencukupi untuk mengekang ketidakpatuhan dalam kalangan pengendali.
Pelaksanaan audit yang lebih menyeluruh selepas ini diharap dapat memastikan tahap keselamatan pengangkutan awam negara terus dipertingkatkan demi keselamatan pengguna jalan raya.
BACA JUGA Nafi 16 pertuduhan pandu berbahaya dan melulu, pemandu bas ini boleh didenda sehingga RM50,000