Nafi 16 pertuduhan pandu berbahaya dan melulu, pemandu bas ini boleh didenda sehingga RM50,000
Pemandu bas Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan memandu secara berbahaya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan hari ini.
Amirul didakwa Mahkamah Majistret Gerik melakukan kesalahan itu ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 1.15 pagi, 9 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan memandu secara melulu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Di bawah seksyen itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Selain itu, lesen memandu tertuduh boleh digantung minimum lima tahun, jika disabitkan kesalahan.
Nahas membabitkan bas persiaran yang membawa 42 penuntut UPSI itu menggemparkan negara apabila meragut nyawa 15 daripadanya.
Bas tersebut terbabas lalu melanggar pembahagi jalan, selain sebuah kenderaan pelbagai guna dinaiki empat sekeluarga turut dilanggar dari bahagian belakang.
BACA JUGA Jabatan Peguam Negara dah ingatkan elak kenyataan spekulatif, MP PN ini komen ‘4R’