Rafizi tidak berganjak, tetap dengan keputusan berundur dari Jemaah Menteri

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli tetap dengan keputusan untuk berundur dari Jemaah Menteri meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad tidak melepaskan jawatan mereka.

Di dalam satu hantaran Facebook, Rafizi menyatakan bahawa dia masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini.

“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.”

Rafizi turut menamakan pasukan pegawainya yang berkhidmat bersama beliau.

Mereka terdiri daripada Dr Azraai Bahari Nasruddin, Benjamin Quek, James Chai, Ismat Qayyum dan Haqimi Zamri.

Rafizi dan Nik Nazmi telah mengumumkan keputusan mengundurkan diri dari Jemaah Menteri susulan kekalahan mereka di dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Rafizi kecundang dalam mempertahankan jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi tertewas dalam mempertahankan jawatan naib presiden dan ketua cabang.

Peletakan jawatan Rafizi berkuatkuasa dari 17 Jun manakala tarikh akhir Nik Nazmi ialah 4 Julai.

BACA JUGA: Sah, Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi