RMK13 bakal dibentang, ini penekanan PM Anwar

Perdana Menteri petang tadi mengetuai perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan mengenai penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026-2030 (RMK13) yang akan dibentangkan Kerajaan MADANI dalam sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa RMK13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi MADANI.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyediaan dokumen itu yang bermula sejak pertengahan tahun lalu adalah hasil usaha berpasukan dan maklum balas menyeluruh mengenai cadangan strategi dan inisiatif yang telah dirangka daripada semua pihak berkepentingan.

PM Anwar mempengerusikan mesyuarat RMK13 di Putrajaya petang tadi. Foto Izzuddin Abd Radzak.

Ia termasuk kementerian-kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan juga orang awam.

“Saya tekankan supaya dokumen ini menjadi titik tolak kepada usaha menangani cabaran ekonomi negara termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

“Negara perlu lebih berdaya tahan dalam mendepani risiko dan ketidaktentuan ekonomi global di samping mempercepat peralihan struktur dan merapatkan jurang pembangunan sosio-ekonomi,” katanya menerusi hantaran melalui Facebook, malam ini.

BACA JUGA MOT umum tiga langkah segera kawal kenderaan berat, ini yang ditunggu orang ramai