Israel terus mengganas, serang lebih 200 sasaran di Iran, ini nada angkuh Netanyahu

Israel terus mengganas apabila telah menyerang lebih 200 sasaran di seluruh Iran setakat pagi ini sejak memulakan gelombang serangan udara ke atas republik Islam itu.

“Setakat ini kami telah mencapai lebih 200 sasaran dan kami terus melakukan serangan,” lapor Al Jazeera memetik jurucakap tentera Brigedier Jeneral Effie Defrin.

Dalam satu kenyataan jam 3.17 pagi tadi, Perdana Menteri negara haram itu, Benjamin Netanyahu berkata, ‘lebih banyak lagi sedang menyusul’ dalam serangan yang dinamakan Operasi Singa Terbit tersebut.

Menerusi ucapan video kepada rakyat Iran itu, Netanyahu berkata bahawa objektif serangan ke atas Iran adalah untuk “menggagalkan ancaman nuklear dan peluru berpandu balistik rejim Islam itu.”

Kata penjenayah perang yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, pasukannya telah menghapuskan “komander tentera kanan, saintis nuklear kanan, fasiliti pengayaan paling penting milik rejim Islam itu, serta sebahagian besar daripada arsenal peluru berpandu balistiknya.”

“Lebih banyak lagi sedang menyusul. Rejim itu tidak tahu apa yang telah menimpa mereka, atau apa yang akan menimpa mereka,” tulis Netanyahu di X.

Beberapa lokasi di Iran terus dihujani serangan Israel. Bunyi letupan kuat kedengaran di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Tabriz di barat laut Iran.

Turut menjadi sasaran serangan Israel ialah bandar selatan, Shiraz, serta tapak pengayaan uranium di Natanz yang merupakan kemudahan utama dan terbesar di Iran.

Setakat ini, media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 78 mangsa terbunuh manakala 329 cedera dalam siri serangan udara dilancarkan Israel yang menyasarkan Tehran.

BACA JUGA Berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat, hanya penumpang 11A terselamat nahas Air India