Pas hipokrit desak Anwar letak jawatan, sebab bila pemimpinnya disiasat…

Kenyataan pemimpin Pas termasuk Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Yusoff Rawther adalah hipokrit.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, hal ini memandangkan Pas sendiri gagal melakukan Tindakan yang sama ketika pemimpinnya disiasat dan didakwa.

Beliau berkata, hujah Pas dalam mendesak Anwar meletak jawatan itu adalah bagi menjamin integriti dan memastikan pegawai polis dapat menyiasat Perdana Menteri.

Namun, ujarnya, ketika pemimpin Pas disiasat dan didakwa berkaitan kes menghina Sultan di bawah Akta Hasutan, tidak pula didesak perkara yang sama demi menjaga integriti institusi Diraja.

“Desakan Pas ini dibuat semata-mata untuk membina persepsi jahat terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menunjukkan sikap tidak campur tangan Anwar Ibrahim dalam sistem kehakiman.

“Sikap ini melambangkan prinsip integriti yang diperjuangkan PH dan agenda reformasi yang digagaskan Anwar Ibrahim dalam menjamin kebebasan badan kehakiman benar-benar dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tidak berasas

Dalam masa sama, Faiz menyifatkan dakwaan pemimpin Pas bahawa saman boleh dibuat terhadap pihak polis kerana tidak menyiasat Anwar sebagai tidak berasas.

Jelasnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah menjelaskan bahawa laporan tersebut telah disiasat di peringkat awal.

“Sungguhpun prinsip undang-undang jenayah menghendaki penyiasatan yang adil dan menyeluruh, namun bagi menyaman pihak polis perlu ditunjukkan wujudnya satu tindakan niat jahat (malicious) oleh pihak polis.

“Memandangkan tiada apa-apa bukti menunjukkan campur tangan Anwar Ibrahim dalam penyiasatan tersebut, maka di mana berlakunya niat jahat tersebut?” bidasnya.

Beliau yang juga pengamal undang-undang menegaskan bahawa prinsip undang-undang adalah jelas bahawa pihak polis dianggap menyiasat sesuatu kes berdasarkan keterangan yang ada dan relevan tanpa dicemari motif lain.

Menurutnya, ia sepertimana yang diputuskan Mahkamah Tinggi dalam kes PP v Mohamed Ali (1962) MLJ 257 “When the police witness say something that is not inherently improbable, his evidence must in the first instance be accepted”.

Sehubungan itu, Faiz berkata, tindakan Pas mempolitikkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah satu tindakan terdesak dan hipokrit.

Tambahnya, Pas sendiri gagal bersikap adil dalam kes melibatkan pemimpinnya sedangkan keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu dilihat dilaksanakan.

BACA JUGA Sistem mekanikal bas dalam keadaan baik, nahas berpunca dari faktor lain