Tel Aviv bergegar, Iran pastikan Israel ‘menyesal, tidak sedetik pun tenang’
Penduduk Tel Aviv gempar dengan serangan bertalu-talu peluru berpandu Iran selepas Israel membunuh 78 orang, termasuk pegawai kanan tentera, dan mencederakan lebih 320 orang di Iran.
Liputan kebakaran, bilangan peluru berpandu, jenis dan impak letupan ke atas bangunan merupakan keadaan baharu kepada orang awam Israel.
Tentera Israel dalam siaran di X memberitahu, lebih banyak siren berbunyi di seluruh negara haram itu berikutan apa yang dilabelkan sebagai “pencerobohan pesawat musuh”.
Lapor Al Jazeera, selain itu, amaran juga dibunyikan di wilayah Negev, tambah tentera Israel, kerana “pencerobohan dron”.
Peluru berpandu jarak jauh Iran telah menyasarkan tapak di seluruh Israel, mencederakan sekurang-kurangnya 40 orang.
Pentadbiran Presiden, Masoud Pezeshkian, menegaskan Iran sudah mula mengambil langkah pertahanan, politik dan perundangan.
Langkah itu, tegasnya, bagi memastikan Israel ‘menyesal atas serangan itu’, malah tidak akan memberikannya ‘walau sedetik ketenangan pun.’
“Dengan rejim buas seperti ini, tiada bahasa yang sesuai melainkan bahasa kekuatan,” menurut kenyataan itu sambil merujuk kepada Israel.
Dalam masa sama, kerajaan Iran turut menegaskan meskipun tidak pernah memulakan peperangan sejak 200 tahun lalu, ia tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan kedaulatan dan rakyatnya.
“Penamat kepada cerita ini akan ditulis oleh Iran,” tegasnya lagi.
Dalam serangan Israel sebelum ini, antara yang terkorban ialah pegawai tertinggi tentera selain orang awam.
Mereka membabitkan Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Baqeri, dan Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami.
BACA JUGA Israel terus mengganas, serang lebih 200 sasaran di Iran, ini nada angkuh Netanyahu