Elaun bulanan guru tadika Islam di Pulau Pinang naik RM400, pembantu RM200
Pulau Pinang bersetuju menaikkan elaun guru Tadika Islam (TADIS) di negeri itu sebanyak RM400 manakala pembantu tadika dinaikkan sebanyak RM200 lagi bermula bulan ini.
Inimenjadikan jumlah bulanan diterima mereka masing-masing adalah RM1,400 dan RM1,000.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, kenaikan itu akan memanfaatkan 40 guru TADIS dan 21 pembantu yang mendidik 874 murid.
“Selepas Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Guru KAFA di Pulau Pinang, kini giliran guru Tadika Islam (TADIS) negeri ini pula menerima kenaikan elaun.
“Kenaikan elaun yang dibiaya sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang ini bukti komitmen kita cakna dengan kebajikan para guru agama di negeri Ini selaras dengan keperluan semasa dan juga kualiti pendidikan awal kanak-kanak Islam,” katanya.
Selain kenaikan elaun, Mohamad berkata, guru TADIS juga menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma secara percuma di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang bagi meningkatkan profesionalisme guru terbabit.
“Sebanyak lima tempat ditawarkan bagi setiap semester kepada guru TADIS untuk mengikuti Diploma Pengajian Islam dengan dibiayai MAINPP bagi fasa pertama bermula kemasukan Julai ini, seperti yang ditawarkan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri ini,” katanya.
Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan Teras Pembangunan Pendidikan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
BACA JUGA Laung ‘Turun Anwar’ tapi PN sendiri tak ada calon PM