Lebih baik Annuar Musa betulkan dahulu cara Pas berpolitik – Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menempelak hasrat Tan Sri Annuar Musa untuk menubuhkan Sekretariat Orang Melayu yang dianggap penuh dengan muslihat politik.

Beliau menyarankan Annuar untuk membantu Pas memperbetulkan cara parti itu berpolitik berbanding menubuhkan sekretariat seperti itu.

“Apa lagi Annuar Musa ni? Nak tubuh Sekretariat Orang Melayu pula. Kamu orang politik. Banyak sangat muslihat politik.

“Cukuplah kamu duduk dalam Pas. Perkuatkan dulu kesatuan kamu di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Betulkan cara berpolitik Pas yang bertopengkan agama dan suka menghukum. Itu punca Melayu berpecah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad berkata, rakyat sudah mengetahui penubuhan Muafakat Nasional (MN) bukanlah lahir daripada titik peluh perjuangan Annuar, apatah lagi terbentuk daripada semangat kebangkitan seperti penentangan terhadap Malayan Union.

Justeru beliau meminta agar Annuar Musa tidak menambah pening kepada orang Melayu.

“Kamu sudah ada Muafakat Nasional. Kami tahulah MN itu bukan lahir atas titik peluh perjuangan kamu. Bukan lahir atas peristiwa seperti orang Melayu menentang Malayan Union.

“Jangan peningkan Melayu. Payung besar Melayulah, Sekretariat orang Melayulah, Melayu terancamlah. Rupanya kamu yang mengancam perpaduan Melayu,” ujarnya.

BACA JUGA Pas tukar himpunan URA dengan himpunan ‘Turun Anwar’ sebab tak ramai sambutan?