‘Mana ada negara biadab macam Israel’, Malaysia pertahan hak Iran serang balas Israel
Malaysia menegaskan pendirian bahawa Iran mempunyai sepenuh hak untuk bertindak balas terhadap tindakan agresif Israel yang biadab dan melampaui batas kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada negara yang boleh sewenang-wenangnya berlaku biadab dan ‘gila’ seperti zionis Israel.
Tegas beliau, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tidak akan tunduk kepada tekanan geopolitik antarabangsa, sebaliknya akan terus memperjuangkan prinsip mempertahankan negara yang dizalimi, termasuk Iran.
“Beberapa hari lalu Iran diserang oleh Israel, senang-senang sasar bunuh saintis, pegawai tentera… mana ada negara boleh biadab, khianat, gila seperti Israel.
“Orang Islam lebih satu bilion, negara Islam kaya… tetapi tak berupaya nak bercakap dan pertahankan Iran pun tak ramai,” katanya ketika berucap di Lumut, Perak hari ini.
Anwar memaklumkan bahawa beliau telah menyatakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, bahawa negara ini tidak akan berkompromi dalam mempertahankan sahabat yang tertindas.
“Sebab itu saya beritahu kawan-kawan dalam Jemaah Menteri, Malaysia ini negara merdeka, kita berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat antarabangsa kini dilihat bersikap hipokrit apabila berdiam diri terhadap serangan Israel, tetapi bersuara lantang apabila Iran membalas bagi mempertahankan maruahnya.
“Bila Israel serang, kamu diam. Bila Iran jawab balik, kamu serang. Saya tak wakili pandangan begitu.
“Pimpinan Kerajaan Madani ini tetap berpegang kepada prinsip membela hak dan mempertahankan hak semua negara,” katanya.
Meskipun mengakui terdapat perbezaan pendekatan antara Malaysia dan Iran, Anwar tetap menghormati ketahanan negara itu dalam menghadapi sekatan ekonomi dan tekanan antarabangsa selama bertahun-tahun.
BACA JUGA Tangkap sesiapa sahaja pemimpin korup, tidak kira kerajaan atau pembangkang