Tangkap sesiapa sahaja pemimpin korup, tidak kira kerajaan atau pembangkang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendiriannya dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, memberi jaminan tiada sesiapa akan dilindungi, sama ada dari pihak kerajaan, pembangkang mahupun bekas pemimpin.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali menghalang siasatan atau tangkapan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika individu terlibat benar-benar melakukan kesalahan.

“Tangkap mereka setiap hari pun, saya tak kisah. Saya tak akan halang… sekarang ada yang kata akan ada lebih banyak tangkapan di Sabah.

“Tangkap sesiapa sahaja, sama ada dari Kerajaan Perpaduan, pembangkang, atau yang sudah bersara. Asalkan memang betul mereka mencuri, tangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Madani Rakyat Perak 2025 di Lumut.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh beberapa kes melibatkan bekas menteri yang dikaitkan dengan skandal kewangan bernilai berbilion ringgit.

Menurutnya, ada antara mereka yang cuba meraih simpati rakyat dengan menggunakan alasan usia dan kedudukan.

“Ada bekas menteri kata, ‘Kesian kami, dah tua. Saya pun rasa kesian, tapi kalau curi duit rakyat, kena pulangkan balik,” katanya.

BACA JUGA Elaun bulanan guru tadika Islam di Pulau Pinang naik RM400, pembantu RM200