Ratusan serangan Iran berjaya kena sasaran, imej dron kemusnahan Israel tersebar
Iran sudah melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu balistik dalam beberapa gelombang sebagai tindak balas selepas tapak nuklearnya dimusnahkan Israel awal pagi kelmarin, lapor Reuters.
Lebih 150 sasaran Iran di negara pengganas itu berjaya dibedil termasuk pangkalan udara Israel yang menempatkan jet pejuang F-35 dan F-16.
Sumber rasmi tentera Israel (IDF) pula melaporkan kira-kira 25 peratus serangan udara Iran menembusi pertahanan udara dan mencapai kawasan berpenduduk seperti Tel Aviv, Rishon LeZion, Ramat Gan.
Peluru berpandu Iran semalam yang mengenai sebuah rumah di Rishon LeZion menyebabkan sekurang-kurangnya dua rakyat Israel mati dan mencederakan 20 yang lain.

Israel mendakwa serangan udaranya ke atas Iran sejak 13 Jun telah membunuh lebih 20 komander tentera dan Kor Pengawal Revolusi Iran, termasuk Ketua Angkatan Bersenjata, Mohammad Bagheri.
Media Iran melaporkan bahawa seorang ketua polis dan seorang lagi pegawai terbunuh dalam serangan Israel awal hari ini, kira-kira 300 kilometer di barat Tehran.
Iran berkata, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 80 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 320 yang lain selepas rejim Zionis menyasarkan bandar, kemudahan ketenteraan dan nuklear.
Jurucakap Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin, berkata lebih daripada 40 lokasi Iran telah menjadi sasaran, termasuk sistem pertahanan udara dan infrastruktur pemerintahan.
Sementara itu, tiga anggota elit Kor Pengawal Revolusi Iran telah terbunuh dalam serangan berterusan oleh Israel di wilayah Zanjan, menurut agensi berita Turki, Anadolu Agency memetik media Iran, Tasnim News Agency.
Tidak bermakna
Kementerian Luar Negeri Iran menyatakan bahawa adalah “tidak bermakna” untuk menyertai rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) di Oman sementara negara itu sedang diserang oleh Israel.
AS menafikan dakwaan Iran bahawa ia bersubahat dalam serangan Israel, dan memberitahu Tehran di Majlis Keselamatan PBB bahawa adalah “bijak” untuk berunding mengenai program nuklearnya.
Penganalisis hal ehwal Israel, Dan Perry, berpendapat kerajaan semasa Israel “tidak popular” kerana kerajaan pimpinan Netanyahu mempunyai rekod tidak tahu bagaimana untuk menamatkan sesuatu peperangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan menyatakan sokongan penuh kepada Iran dan menyeru kepada “perpaduan umat Islam menentang Israel” susulan serangan yang sedang berlaku.
BACA JUGA Tel Aviv bergegar, Iran pastikan Israel ‘menyesal, tidak sedetik pun tenang’