PM ulang jaminan subsidi bersasar RON95 tidak jejaskan 90 peratus rakyat
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksaan subsidi bersasar RON95 yang ketika ini dinikmati 85 hingga 90 peratus rakyat Malaysia akan terus kekal.
Perdana Menteri berkata, banyak kempen negatif mengenai RON95 biarpun kerajaan berulang kali memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat.
Tegasnya, apa yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah gimik untuk menunjukkan bahawa rakyat sedang mengalami kesusahan.
“Perkara itu harus sentiasa diingat, apa yang diuar-uarkan blok pembangkang adalah satu gimik terdesak untuk menunjukkan rakyat menghadapi kesusahan.
“Banyak sangat khabar negatif daripada mereka (pembangkang), ketika ini kita perlukan khabar positif untuk membantu membangkitkan ekonomi,” ujarnya kepafa pemberita selepas menghadiri persidangan Energy Asia edisi kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tambah Anwar, subsidi bersasar akan dilaksanakan apabila tiba masa sesuai kerana ia kritikal untuk pembangunan negara.
“Kita mahu negara mempunyai sumber mencukupi untuk membantu mereka yang hidupnya susah, menambah baik mutu pendidikan serta memantapkan taraf perkhidmatan awam, antaranya sektor kesihatan,” jelas Anwar lagi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan akan terus melaksanakan subsidi bersasar RON95 atau sebaliknya.
Bagaimanapun perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.
BACA JUGA ‘Selamat maju jaya saudara Rafizi’, ucap Anwar