‘Selamat maju jaya saudara Rafizi’, ucap Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Rafizi Ramli yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang menjadi Menteri Ekonomi.

“Saya ucap selamat maju jaya kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai menteri ekonomi dan sekarang saya akan putuskan untuk mana-mana menteri untuk menjalankan tugas (menteri ekonomi),” katanya ringkas kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Buat masa ini Anwar berkata, keputusan berkaitan pengganti Rafizi akan diputuskan kemudian.

Mengenai desas desus mengatakan Kementerian Ekonomi akan ditutup, Anwar menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk merombak Kabinet mahupun membubarkan kementerian itu.

“Saya fikir tak ada keperluan untuk dirombak apa-apa setakat ini,” katanya.

Kita teruskan untuk sekarang (Kementerian Ekonomi) kerana tidak ada isu tidak ada masalah teruskan,” tambahnya lagi.

Mengenai status peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar berkata, beliau sudah memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk berfikir dan renungkan mengenai keputusan untuk melepaskan jawatan itu.

Perdana Menteri juga sudah memberikan pandangannya bahawa adalah lebih baik terus berkhidmat.

Rafizi dan Nik Nazmi pada akhir Mei lalu menghantar surat perletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR.

Menerusi surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Anwar, peletakan jawatan Rafizi akan berkuat kuasa 17 Jun (esok), manakala Nik Nazmi pada 4 Julai. 

BACA JUGA Disyaki terlibat penipuan pakej haji, warga emas direman empat hari