Terima kasih…Rafizi rasmi akhiri tugas dengan penghargaan buat penjawat awam

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menitipkan penghargaan mendalam kepada seluruh warga penjawat awam Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi lain atas kerjasama dan bimbingan sepanjang beliau menerajui kementerian tersebut.

Dalam satu catatan di Facebook, Rafizi menyifatkan pengalaman beliau bersama penjawat awam sebagai “manis-manis belaka” dan mengakui banyak mempelajari ilmu baharu daripada mereka.

“Saya hanya ada pengalaman yang manis-manis belaka sepanjang saya berkhidmat bersama-sama penjawat awam di Kementerian Ekonomi.

“Seperti yang saya sebut dalam ucapan terakhir Jumaat lepas, saya tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri dari penjawat-penjawat awam yang sayangkan negara,” katanya.

Menurut beliau, skop tugas Kementerian Ekonomi merentasi hampir semua sektor – termasuk kewangan, pendidikan, pertanian, tenaga dan perpaduan, menjadikan peranan seorang menteri di kementerian itu sangat mencabar lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman sepertinya sebelum ini.

“Sesiapa yang pernah menjadi menteri 2-3 penggal pun perlu banyak menelaah, apatah lagi untuk seseorang yang tidak pernah menjadi menteri.

“Sebab itu saya terhutang budi kepada semua penjawat awam ini. Saya banyak belajar dari mereka dalam menjalankan tugas saya, lebih banyak dari mereka belajar dari saya.

“Seseorang yang baru menjadi ketua dalam organisasi yang besar dan skop yang luas, perlu banyak bertanya untuk belajar.

Rafizi turut menjelaskan bahawa fungsi teras kementeriannya bukan sekadar menumpukan kepada angka dan unjuran ekonomi, sebaliknya sebagai agensi pusat perancangan makro negara yang memberi kelulusan kepada Belanja Pembangunan bagi semua kementerian teknikal.

Beliau turut menyentuh peranan penting penjawat awam dalam menyokong tugas seorang menteri, termasuk memberi input yang jujur dan menyeluruh untuk memudahkan proses membuat keputusan.

“Kalau penjawat awam kedekut ilmu, atau tidak memberi jawapan yang betul, atau culas dalam memberi jawapan yang komprehensif, maka menteri itu tidak akan membina kemahiran yang diperlukan dalam tempoh yang singkat,” katanya

Menutup coretannya, Rafizi berkata beliau akan menghantar e-mel peribadi kepada semua warga Kementerian Ekonomi sebagai tanda terima kasih, selain berkongsi bahawa hadiah paling bermakna yang dibawa pulang ialah ilmu yang ditimba sepanjang perkhidmatannya.

BACA JUGA PM ulang jaminan subsidi bersasar RON95 tidak jejaskan 90 peratus rakyat