Iran akan keluar daripada NPT?

Parlimen Iran kini sedang menyediakan satu rang undang-undang yang berpotensi mendorong Tehran untuk keluar daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), menurut kenyataan Kementerian Luar Iran pada Isnin.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kami akan membuat keputusan yang bersesuaian. Kerajaan perlu melaksanakan rang undang-undang yang diluluskan parlimen, namun cadangan ini masih dalam peringkat penyediaan dan kami akan bekerjasama dengan parlimen pada peringkat seterusnya,” kata jurucakap kementerian, Esmaeil Baghaei, ketika ditanya dalam satu sidang media mengenai kemungkinan Tehran keluar daripada NPT.

NPT, yang telah diratifikasi oleh Iran pada tahun 1970, menjamin hak negara-negara untuk membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan awam, dengan syarat mereka tidak membangunkan senjata nuklear serta bekerjasama dengan pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Israel minggu lalu mendakwa bahawa Tehran berada di ambang membina bom nuklear.

Iran pula bertegas bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, walaupun IAEA minggu lalu mengisytiharkan bahawa Tehran telah melanggar kewajipannya di bawah NPT.

Presiden Masoud Pezeshkian pada Isnin mengulangi bahawa senjata nuklear bertentangan dengan fatwa agama yang dikeluarkan oleh Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Media rasmi Iran pula melaporkan bahawa tiada keputusan muktamad telah dibuat oleh parlimen untuk keluar daripada NPT, manakala seorang ahli parlimen menyatakan bahawa cadangan itu masih di peringkat awal proses perundangan.

BACA JUGA: Ratusan serangan Iran berjaya kena sasaran, imej dron kemusnahan Israel tersebar