Pengarah Jabatan Kewangan PBT di Melaka disyaki salah guna kuasa babit RM50 juta

Seorang pengarah syarikat di sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa.

Difahamkan, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu menyalahgunakan kuasanya untuk melabur saham berjumlah RM50 juta.

Suspek ditahan serta merta selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka, kira-kira 1 tengah hari semalam.

Menurut sumber, suspek melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 sehingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta

“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM akan mendapatkan permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

BACA JUGA Selepas terima enam rawatan sejak 2014, Presiden Pas jalani prosedur rawatan lagi hari ini