Selepas terima enam rawatan sejak 2014, Presiden Pas jalani prosedur rawatan lagi hari ini
Sudah berusia 77 tahun, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan menjalani prosedur rawatan hari ini.
Anaknya, Dr Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu memaklumkan perkara itu melalui laman sosial Facebook.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Batu Buruk berkenaan memohon orang ramai mendoakan kejayaan prosedur rawatan ayahnya yang juga Ahli Parlimen Marang itu.
Semakan Harapan Daily mendapati sekurang-kurangnya enam rawatan telah dijalani Ahli Parlimen Marang itu.
Terkini, pada Januari tahun lalu, Abdul Hadi menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sejak Jun 2014, beliau dilaporkan menjalani pemeriksaan menyeluruh di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul, akibat sesak nafas yang disebabkan komplikasi jantung.
Pada 16 Mei 2017, Abdul Hadi menjalani pembedahan pintasan jantung dan terapi fisioterapi selepas injap jantungnya didapati rosak.

Beliau seterusnya dimasukkan ke Hospital Putrajaya kerana sesak nafas pada 16 Februari 2021 sebelum dipindahkan ke IJN dan dibenarkan kembali ke rumah tiga hari selepas itu.
Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu kemudian dilaporkan sekali lagi dimasukkan ke IJN pada 6 Jun tahun yang sama.
Menjelang akhir Jun 2021, tahap kesihatannya dilapor bertambah baik dan dijangka boleh dibenarkan pulang pada masa terdekat ketika itu.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan turut pernah dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, beliau dikatakan demam dan bukannya masalah jantung, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
BACA JUGA Terima kasih…Rafizi rasmi akhiri tugas dengan penghargaan buat penjawat awam