RUU Optometri bakal dibentang Oktober
Rang Undang-Undang Optometri dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan menjadi kerangka perundangan khusus bagi mengawal selia semua aspek profesion optometri di Malaysia.
“Ia akan menjadi satu Akta berasingan yang mengawal amalan, latihan, pendaftaran dan skop tugas bagi optometris, berbeza daripada optisyen,” katanya.
Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa rang undang-undang itu dijangka merangkumi penjualan produk optikal secara dalam talian, serta peruntukan penguatkuasaan dan penalti bagi melindungi keselamatan pengguna.
“Undang-undang ini amat penting dalam mengangkat profesion optometri sebagai satu bidang profesional yang diiktiraf, bertauliah, selamat dan berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan penting optometris dalam penjagaan kesihatan primer, terutamanya dalam pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, glaukoma dan masalah retina yang lain.
“Optometris bukan sekadar mengurus masalah pembiasan penglihatan, malah berperanan sebagai barisan hadapan penting dalam mengenal pasti penyakit mata yang berkait dengan NCD,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa Malaysia masih belum mencapai nisbah yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu seorang optometris bagi setiap 10,000 penduduk.
“Kita kini berada pada nisbah 1:16,000, yang menjejaskan keupayaan sistem kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang adil dan berkualiti kepada rakyat,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia hanya menghasilkan sekitar 200 optometris setiap tahun.
BACA JUGA: Dr Dzulkefly pertegas komitmen Malaysia perkasa sistem kesihatan di pentas dunia