Hairan apabila Hadi anggap ‘Malaysia Madani’ disempitkan
Seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membetulkan tanggapan
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap ‘Malaysia Madani telah “disempitkan sekadar secebis bumi kecil Malaysia di dalam dunia yang luas”.
Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, selepas PRU15 pada 2022, dunia mengiktiraf pencapaian ekonomi Malaysia meskipun diakuinya tidaklah sempurna dan terbaik.
“Ini bukan satu tindakan membodohkan, ia adalah islah, reformasi.
“Kenapa konotasi itu yang dimasukkan dalam ayat itu?
“Sudah tentulah Malaysia Madani itu kerana kita memerintah Malaysia. Kita bukannya dapat memerintah Indonesia atau Singapura,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi menerusi siri artikel Minda Presiden antara lain berkata, bukan hanya Malaysia sahaja yang bersifat madani, malah termasuk dunia lain juga tabiinya bermadani.
“Masalahnya ialah ‘Malaysia Madani’ dijadikan slogan untuk membodohkan dan menipu dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu, di samping hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk.
“Slogan itu juga disempitkan sekadar secebis bumi kecil Malaysia di dalam dunia yang luas, menjadikan rakyat laksana katak di bawah tempurung.
“Allah SWT menetapkan sifat madani manusia sejak manusia pertama Adam AS, jauh sebelum wujudnya Malaysia,” kata Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, Dr Abu Hafiz menegaskan bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia bukan Singapura, Brunei atau Indonesia.
“Kita bukan khalifah yang menjalar ke barat, timur, utara dan selatan. Tidak.
“Sebab itu konsep Madani dilaksanakan dalam ruang lingkup pentadbiran Malaysia. Maka dipanggil Malaysia Madani,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan capaian liputan berkenaan Malaysia Madani walaupun lokal tetapi telah sampai hingga ke seluruh dunia.
“Pelaksanaan Madani semestinya di Malaysia. Malaysia Madani tidak boleh dilaksanakan di luar sempadan Malaysia.
“Saya tidak faham mengapa tulisan itu muncul di sini,” kata Dr Abu Hafiz lagi.
BACA JUGA SPRM tahan dua pemilik syarikat buat tuntutan palsu RM2.5 juta untuk projek baik pulih sekolah