SPRM tahan dua pemilik syarikat buat tuntutan palsu RM2.5 juta untuk projek baik pulih sekolah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti sekolah di negeri itu.
Suspek berusia 43 dan 50 tahun itu didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan peruntukan RM2.459 juta pada 2022.
Kedua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM pada kira-kira 4.10 petang semalam.
Menurut sumber SPRM, mereka membuat tuntutan palsu untuk lima buah sekolah menengah sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.
“Mereka dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 apabila mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti sekolah yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta.
“Ia melibatkan lima buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini melalui peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Kedua-dua individu pernah ditangkap SPRM Selangor pada 2023 berkaitan projek yang sama di negeri itu dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan dua lelaki tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Bagaimanapun dua individu ini dilepaskan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin pada 9.30 malam tadi,” menurut sumber berkenaan.
BACA JUGA Pelaburan Shell dijangka bertambah lebih RM9 bilion, ini manfaat kepada rakyat Malaysia