Ini yang rakyat Malaysia di Iran bakal alami pada 20 Jun

Mulai 20 Jun ini, rakyat Malaysia termasuk perwakilan, pelajar dan pelancong yang berada di Iran akan dikeluarkan serta dipindahkan.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, kerajaan telah mengenalpasti jumlah rakyat Malaysia di negara yang sedang berperang dengan Israel itu.

Menteri Komunikasi berkenaan berkata, jumlah yang mendaftar itu bagaimanapun tidak terlalu besar.

“Tapi mereka telah digerakkan untuk bergerak keluar dari Iran dan segala persiapan visa telah dimuktamadkan.

“Insya-Allah mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini dijangka pada 20 Jun ini,” jelasnya.

Fahmi berkata demikian mengulas mengenai rancangan pelan pemindahan rakyat Malaysia di Iran pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi Fadzil

Sebelum ini, Kementerian Luar menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran supaya meninggalkan negara itu serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.

Kementerian itu menegaskan bahawa keadaan di Iran semakin meruncing dan situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan setakat ini hanya lapan pelajar Malaysia sedang belajar di Iran.

Bagi rakyat Malaysia bukan pelajar (seperti pekerja, pelawat atau pemastautin jangka pendek), tiada statistik rasmi yang disiarkan secara terbuka.

Tahun lalu, Wisma Putra menggesa mereka yang berada di Iran supaya mendaftar melalui sistem E‑Konsular supaya senarai rasmi boleh dikemas kini seiring perubahan situasi.

BACA JUGA Serangan berterusan, warga Israel panik digegar Iran