Serangan berterusan, warga Israel panik digegar Iran

Letupan menggegarkan Tel Aviv dan Tehran ketika konflik antara Israel dan Iran berterusan untuk hari keenam berturut-turut.

Lapor Al Jazeera, awal pagi tadi, tentera Israel memaklumkan bahawa gelombang baharu peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran.

Media Israel melaporkan bahawa serangan terbaharu itu mencetuskan bunyi siren di seluruh negara haram itu, termasuk kawasan Tel Aviv di mana letupan dan kebakaran dilaporkan berlaku.

Letupan juga dilaporkan di Tehran dan Karaj, sebuah bandar di sebelah barat ibu negara republik Islam itu.

Tentera Iran pula dilapor berkata telah mengesan dan memintas 28 “pesawat musuh” dalam tempoh 24 jam.

Salah satu daripadanya dikatakan merupakan dron pengintip yang cuba mendapatkan maklumat risikan tentang lokasi-lokasi “sensitif”.

Sementara itu, wartawan politik veteran Khaled Mahmoud memaklumkan Iran mengumumkan pelancaran kira-kira 20 hingga 30 peluru berpandu balistik ke arah Israel.

“Siren serangan udara telah dibunyikan di Tel Aviv dan Haifa.

“Media Israel mula menggesa orang awam untuk segera mencari tempat perlindungan,” katanya menerusi platform X jam 5.48 pagi tadi.

Menurut wartawan ketenteraan kanan untuk The Times of Israel, Emanuel (Mannie) Fabian pula, siren dibunyikan di utara Israel susulan pelancaran peluru berpandu balistik dari Iran.

“Orang awam di kawasan yang terlibat diarahkan untuk kekal berada di dalam tempat perlindungan bom sehingga diberitahu kelak,” katanya di X.

BACA JUGA Heboh lagi dentuman di Ipoh, ini reaksi polis