Keputusan kes mahkamah SIS Forum lawan MAIS
OLEH ZULQARNAIN LUKMAN
Hari ini, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini berkaitan dengan fatwa terhadap SIS Forum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Antara intipati penghakiman tersebut, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa SIS Forum ini bukanlah seorang individu. SIS Forum adalah sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat.
Dalam maksud lain, SIS Forum adalah manusia atau orang buatan (artificial person) ]teringat pula kata-kata seorang MB yang sebutkan AI itu adalah artificial inteligence atau kepandaian tiruan yang sepatutnya diterjemahkan sebagai kecerdikan buatan]
Oleh kerana, SIS Forum adalah orang buatan maka ianya tidak tertakluk di bawah perundangan Syariah kerana Butiran 1, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan bidangkuasa Negeri ke atas orang sebenar dan bukannya orang buatan.
Dalam fatwa itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan “SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.”
Maka berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, fatwa itu hanya tidak terpakai ke atas SIS Forum. Ini bermakna fatwa itu masih lagi terpakai ke atas mana-mana individu manusia biasa termasuklah ke atas mana-mana orang yang menjadi pentadbir atau ahli SIS Forum.
Isu ini adalah isu Perlembagaan. Perlembagaan telah menghadkan bidangkuasa negeri hanya ke atas orang sebenar sahaja. Inilah lebih kurang tafsiran Mahkamah Persekutuan.
Keputusan kes hari ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada keputusan kes Iki Putra dan Nik Elin yang mana Mahkamah Persekutuan hanya menumpukan isu bidangkuasa antara Persekutuan dan negeri sahaja.
Mahkamah Persekutuan tidak menyentuh mengenai kandungan fatwa itu dan Mahkamah Persekutuan tetap menyatakan kandungan fatwa itu adalah dalam bidangkuasa Jawatankuasa Fatwa.
Kata Ketua Hakim,
“Supaya kami tidak disalah faham, kami mengulangi bahawa kami tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasanya yang berbunyi: ‘… fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyelewemg daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’ kerana ini adalah perkara dalam bidangkuasa ekslusif responden-responden.”
Untuk rekod, maksud liberalisme ini bukanlah bermaksud ‘bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong dengan satu aliran pemikiran’ seperti yang terkandung dalam website PRPM DBP atau menjadi keluar daripada menjadi walaun kepada sesuatu pendapat.
Liberalisme yang dimaksudkan dalam fatwa ini adalah fahaman yang memberikan kebebasan mutlak kepada individu dalam menafsirkan ajaran Islam, tanpa terikat kepada dasar dan sumber ajaran Islam yang telah ditetapkan.
Manakala, pluralisme pula bermaksud ‘menyamakan semua agama, mempercayai bahawa semua agama adalah sama dan benar.’
ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengerusi KANUN, AMANAH.
BACA JUGA: Ini keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS