Tidak hanya janji, RM89 bilion pelaburan bukti reformasi kerajaan sedang berjalan
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku dalam pentadbiran kerajaan hari ini adalah tidak berasas sama sekali.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten bukan hanya sekadar dalam kenyataan, tetapi dalam tindakan yang berstruktur.
Seperti yang dibentangkan Perdana Menteri melalui Kerangka Ekonomi MADANI, Nashrul berkata teras utama adalah untuk menaikkan siling iaitu memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat meningkat.
“Malaysia telah merekodkan pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama tahun 2025 iaitu RM89 bilion, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lalu meski landskap global kian mencabar
“Pelaburan ini bakal menjana 1,600 projek baru di seluruh negara termasuk lebih 33,000 peluang pekerjaan
“Dalam sektor mikro elektronik dan semikonduktor, Malaysia turut melperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM 507 juta potensi eksport hasil penyertaan di Semicon Southeast Asia 2025,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pengumuman ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara.
Di sebalik pencapaian ini, kerajaan turut mendengar keresahan rakyat berhubung pelaksanaan beberapa dasar baru.
Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim menengaskan setiap keputusan akan dibuat teliti dengan penglibatan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
BACA JUGA Pencapaian luar biasa ranking daya saing Malaysia hasil komitmen seluruh jentera kerajaan