Amerika jangan masuk campur, biarkan Israel selamatkan diri sendiri – AMANAH

AMANAH memberi amaran agar Amerika Syarikat tidak campur tangan dalam konflik ketenteraan yang melibatkan Israel dan Iran, sebaliknya membiarkan Israel menghadapi akibat daripada tindakannya sendiri.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Israel telah menyerang Iran secara bersendiri tanpa melibatkan Amerika Syarikat.

Ketika itu, katanya, Israel beranggapan mereka dapat melemahkan Iran dengan membunuh tokoh ketenteraan utama dan pakar nuklear republik itu.

“(Namun kini) apabila Iran menyerang balas dengan serangan-serangan yang begitu berkesan yang tidak diduga, Israel sudah menyeru Amerika Syarikat untuk turut terlibat demi menyelamatkan Israel.

“Rayuan dan seruan kepada Amerika Syarikat adalah bukti bahawa Israel sedang tertekan dan mungkin sudah mula kehabisan stok penangkis peluru berpandu Iron Dome mereka,” katanya hari ini.

Beliau mendakwa, campur tangan Amerika hanya akan menyelamatkan Israel daripada kekalahan, dan sejarah telah membuktikan negara itu sanggup menjerumuskan Amerika ke kancah perang demi kepentingan sendiri.

Justeru beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak perlu terlibat.

“Iraq dan Syria telah dimusnahkan Amerika sebelum ini, demi Israel, dengan menelan belanja berbillion atau bertrillion dollar wang rakyat Amerika.

“Ratusan nyawa perajurit Amerika terkorban namun negara haram Israel itu masih tidak berpuashati dan terus mencetuskan peperangan dengan keyakinan Amerika Syarikat, sebagai ‘negara khadamnya’, akan datang menyelamatkan Israel,” ujarnya.

Khalid turut mengingatkan janji Donald Trump semasa berkempen untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat, iaitu “tiada lagi peperangan” dan “hanya saya mampu menyelamatkan dunia daripada perang dunia ketiga”.

Namun, katanya, perkembangan terkini menunjukkan Amerika semakin hampir untuk terlibat dalam perang yang dicetuskan Israel, sekali gus berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga dengan kemungkinan penglibatan Russia dan China untuk membela Iran.

“Maka AMANAH ingin nyatakan, “stay out of it America! And let Israel fight its own wars and get itself out, on its own, from the hole it dug for itself!” katanya lagi.

BACA JUGA Sah pengarah cawangan khas Bukit Aman, Khalid Ismail Ketua Polis Negara baharu