Beri suntikan semangat baharu, Rahmad Mega sertai AMANAH

Penyertaan vokalis kumpulan Mega, Rahmad Tohak atau dikenali sebagai Rahmad Mega secara rasmi dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat sebagai satu suntikan semangat baharu.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kemasukan penyanyi ‘Takdir dan Waktu’ itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Alhamdulillah semalam, penyanyi rock tanah air Saudara Rahmad bin Tohak atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega, secara rasmi menyertai AMANAH.

“Bang Mat mengalu-alukan penyertaan beliau sebagai satu suntikan semangat baru dalam gerakan politik kita, gerakan yang mendekati rakyat bukan hanya melalui ceramah dan forum, tetapi juga melalui seni, budaya dan suara hati nurani masyarakat,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, AMANAH turut percaya seni adalah medium yang kuat untuk membina jiwa bangsa.

“Dengan kehadiran Rahmad, kita yakin suara kita akan bergema dan sampai ke hati rakyat.

“Selamat datang ke dalam keluarga besar AMANAH Saudara Rahmad.

“Ayuh kita terus melangkah bersama, demi Malaysia yang lebih adil, progresif dan berjiwa rahmah,” ujar Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Sementara itu, Rahmad, 55, yang memenangi program realiti TV3 Terpaling Juara pada 2022 dengan membawa pulang RM100,000 itu sempat berkongsikan prinsip hidupnya.

“Hidup kena sentiasa dalam budi pekerti dan AMANAH. Itu yang kita cari.

“Yang penting, oren (warna rasmi AMANAH),” kata pelantun lagu ‘Bayangan Gurauan’ itu dalam rakaman video ringkas dikongsikan menerusi Facebook Parti Amanah Negara.

BACA JUGA Iran kejutkan dunia berjaya musnahkan “permata mahkota sains Israel”