Ini respon Anwar selepas kes SRC Najib diputuskan DNAA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan mahkamah susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak dalam kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Saya tak nak masuk campur, itu soal hakim…itu soal peguam negara,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pengamal media mengenai pendirian kerajaan berhubung kes terkini membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Terdahulu, Hakim K Muniandy membuat keputusan dengan berkata tiada apa-apa yang menunjukkan pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini, atau dalam tempoh munasabah.

Minggu lalu, peguam Najib memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dengan alasan tuduhan terhadap anak guamnya sudah mengambil masa selama enam tahun.

Jelasnya lagi, dokumen berkaitan kes SRC pertama sudah tersebar di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil.

BACA JUGA Jabatan kerajaan diarah henti guna barangan import, apa sebabnya?