Jabatan kerajaan diarah henti guna barangan import, apa sebabnya?

Semua jabatan kerajaan diarah untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Perdana Menteri berkata penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.

Beliau menegaskan hal tersebut ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya, pagi ini.

“Jadi kalau seluruh jabatan kerajaan (laksana arahan ini), maknanya peluang petani untuk mengeluarkan bahan-bahan tempatan lebih banyak,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim membandingkan amalan itu dengan negara jiran yang tegas dalam penggunaan bahan makanan tempatan dalam setiap majlis rasmi.

“Laos, Vietnam, Thailand, saya belum pernah makan dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini bahan makanan import.

“Tidak ada, secara automatik mereka pastikan makanan tempatan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegur kecenderungan sesetengah pihak yang masih memilih makanan import walaupun arahan jelas telah dikeluarkan.

BACA JUGA Beri suntikan semangat baharu, Rahmad Mega sertai AMANAH