Peluru berpandu Iran bedil selatan Israel, lebih banyak lokasi dan infrastruktur strategik musnah
Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas selatan Israel ketika konflik antara seteru serantau itu memasuki hari kelapan.
Be’er Sheva yang menempatkan beberapa kem tentera dan unit logistik Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selain menjadi hab siber utama Israel kini menjadi ‘sasaran’ Iran selepas serangan kedua dalam tempoh dua hari.
Setakat ini, lapor Al Jazeera, belum ada kenyataan rasmi berkaitan bandar juga menempatkan Universiti Ben-Gurion yang banyak terlibat dalam kolaborasi strategik dengan kerajaan Israel itu.
Media Israel menyatakan bahawa berlaku kerosakan pada sistem pemintas, yang menyebabkan satu peluru berpandu terkena secara langsung ke Be’er Sheva.
Banyak bangunan mengalami kerosakan besar. Rakyat Israel memuat naik gambar di media sosial yang menunjukkan kerosakan pada tingkap dan perabot mereka.
Lima orang mengalami kecederaan ringan, manakala 30 lagi dilaporkan menerima rawatan akibat panik.

Sehingga kini, lebih 400 peluru berpandu balistik dan dron telah dilancarkan oleh Iran ke atas Israel.
Bedilan Iran dengan peluru berpandu tepat telah mengenai jantung pertahanan rejim Zionis.
Markas utama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Kirya – simbol kekejaman ketenteraan Israel – mengalami kerosakan selepas dibedil Iran.
Serangan balas republik Islam itu turut menyasarkan Institut Weizmann, antara pusat penyelidikan yang didakwa terlibat dalam pembangunan senjata di Rehovot.
Tamparan hebat
Sekolah risikan IDI yang melatih ejen perisikan rejim turut musnah di Camp Moshe Dayan.
Pangkalan udara utama Israel seperti Nevatim, Tel Nof dan Hatzerim turut mengalami kerosakan ketara sekaligus memberi tamparan hebat kepada keupayaan udara Zionis.
Dalam masa sama, bedilan tepat peluru berpandu Iran menggegarkan jantung penjajahan Zionis dan merosakkan ratusan kediaman termasuk lebih 100 unit rumah di Hod Hasharon.
Israel juga tergamam apabila Iran turut meranapkan bangunan komersial dan perkhidmatan awam di Tel Aviv seperti di Ramat Gan dan Bat Yam.
BACA JUGA Serangan bertalu-talu di seluruh Tehran, rakyat dan tentera Israel pula gelabah bersembunyi