Ratusan NGO, aktivis, ahli akademik sertai Himpunan Tolak Perang
Ratusan individu tidak kira bangsa mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, aktivis dan ahli politik menyertai Himpunan Tolak Perang di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini.
Ia sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan Iran susulan serangan Israel yang mencetuskan ketegangan serantau dan mengancam keamanan global.
Kesemua peserta mula berkumpul di hadapan Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat petang tadi sebelum berarak ke bangunan kedutaan yang terletak di Jalan Tun Razak, sambil membawa bendera serta plakad.
Antara pemimpin politik yang dilihat hadir termasuk Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dan Ahli Parlimen Seri Gading, Aminolhuda.
Selain itu, aktivis Tian Chua dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid turut menyertai himpunan itu.
Peserta Himpunan Tolak Perang turut membawa memorandum untuk diserahkan kepada Kedutaan AS, antaranya menuntut pengesahan langsung jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Israel.
Bagaimanapun, menurut Khalid, tiada wakil kedutaan keluar menerima memorandum tersebut, menyebabkan mereka terpaksa memasukkan memorandum itu ke dalam peti surat kedutaan.
BACA JUGA Amerika jangan masuk campur, biarkan Israel selamatkan diri sendiri – AMANAH