Sekolah Angkat Madani melebihi sasaran awal, sekolah di pinggir bandar mulai terima manfaat

Sebanyak 1,000 buah Sekolah Angkat Madani berjaya diwujudkan di seluruh negara setakat ini, jauh melepasi sasaran awal penubuhan sebanyak 300 sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan luar biasa daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan agensi kerajaan telah mendorong peningkatan mendadak jumlah sekolah angkat yang terlibat dalam program tersebut.

“Saya dan Ketua Setiausaha Negara serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulanya menyasarkan 300 buah Sekolah Madani.

“Sedikit demi sedikit meningkat kepada 500, dan kini sambutan luar biasa daripada syarikat swasta, agensi kerajaan serta pelbagai pihak membolehkan kita capai angka 1,000,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, program ini bukan hanya bergantung kepada sumbangan kewangan semata-mata, malah memerlukan sokongan menyeluruh yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada sekolah-sekolah, khususnya yang terletak di kawasan luar bandar.

“Kita mengharapkan sumbangan bukan sahaja dari segi kewangan untuk kemudahan sekolah, tetapi juga sokongan menyeluruh.

“Banyak sekolah di pinggir bandar kini mula menerima manfaat melalui inisiatif ini. Rangkaian kerjasama ini perlu diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini memaklumkan sebanyak 80 organisasi awam dan swasta telah menyatakan komitmen mereka untuk menyokong lebih 800 buah sekolah melalui program berkenaan, jauh melebihi sasaran asal iaitu 200 sekolah.

Program Sekolah Angkat Madani diwujudkan bagi menangani jurang pendidikan dengan memadankan sekolah yang memerlukan dengan organisasi yang memiliki sumber, kepakaran dan kapasiti untuk memberi sokongan secara berterusan.

Inisiatif ini juga dilihat sebagai platform memperkukuh sistem pendidikan negara menerusi penglibatan aktif sektor swasta, bukan hanya dalam kerangka tanggungjawab sosial korporat (CSR), malah atas dasar nilai ihsan dan komitmen membina masyarakat Madani yang inklusif.

BACA JUGA Bil lebih jimat mulai Julai? Ini 8 perkara anda perlu tahu tentang tarif elektrik baharu