SIS Forum: ABIM seru kerajaan pastikan autoriti fatwa berfungsi secara berkesan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengemukakan beberapa saranan kepada Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan keputusan mahkamah terhadap Sisters in Islam (SIS).

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berharap pihak terbabit mempertimbang untuk merangka mekanisme pengharmonian undang-undang yang mengiktiraf kuasa fatwa secara lebih jelas dalam konteks dwisistem perundangan negara.

“ABIM turut menyeru Parlimen Malaysia menggubal atau meminda undang-undang yang berkaitan, khususnya Akta Mahkamah Syariah dan Akta Pentadbiran Agama Islam Negeri, bagi memastikan autoriti fatwa tidak terus dipinggirkan dan dapat berfungsi secara berkesan.

“Menekankan agar pelantikan Ketua Hakim Negara yang akan datang mengambil kira keperluan mendalam terhadap keupayaan memahami kerangka perundangan Islam serta komitmen untuk mengharmonikan sistem sivil dan syariah secara adil dan menyeluruh,” tegasnya.

SIS menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai bukan sahaja sebagai kemenangan tetapi juga buat rakyat Malaysia yang percaya kepada proses undang-undang, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan bahawa fatwa diwartakan terhadap pertubuhan SIS tidak boleh terpakai kepada sebuah entiti, berpotensi membuka cabaran lebih besar terhadap autoriti institusi fatwa dan agama Islam negeri.

Menurutnya, keputusan itu juga mencetuskan kebimbangan yang mendalam dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kesan jangka panjang

Ahmad Fahmi berkata, walaupun keputusan tersebut berasaskan hujahan perundangan sivil berkaitan status entiti korporat tetapi kesan jangka panjangnya perlu dinilai secara lebih menyeluruh.

“Ia menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan mekanisme semasa dalam menyekat penyebaran fahaman yang tidak selari dengan semangat Maqasid Syariah dan asas-asas Perlembagaan negara, khususnya dalam peranan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, ABIM turut mengambil maklum wujud penghakiman berbeza daripada dua hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes itu, yang jelas menyuarakan keprihatinan terhadap kesan jangka panjang keputusan majoriti terhadap kedudukan fatwa dan institusi Islam negara.

Hal tersebut, jelasnya, menunjukkan wujud asas perundangan yang sahih untuk menilai semula keperluan reformasi undang-undang agar keharmonian antara sistem sivil dan syariah dapat dikekalkan secara adil serta menyeluruh.

“ABIM berpandangan bahawa situasi ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara sistem perundangan syariah dan sivil.

“Jika tidak ditangani secara tuntas dan berhemah, ia boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap kemampuan negara dalam menegakkan prinsip keadilan berasaskan keutuhan Islam sebagai agama Persekutuan,” kata Ahmad Fahmi lagi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 3-1 membenarkan sebahagian rayuan SIS, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa agama di Selangor telah bertindak silap apabila mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan pertubuhan itu untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan terhadap SIS itu pada 2014.

BACA JUGA Sultan Selangor dukacita, titah SIS Forum tidak lagi guna perkataan ‘Sisters In Islam’