Aerotrain KLIA bakal beroperasi semula 1 Julai depan
Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi fasa pertama akan beroperasi semula pada 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kesemua tiga gerabak Aerotrain itu kini sedang memasuki ujian akhir dan sekiranya melepasi sesi percubaan, ia boleh beroperasi pada tarikh yang ditetapkan.
“Aerotrain akan menjalani percubaan dan beberapa ujian akhir termasuk ujian penting tindak balas kecemasan.
“Sekiranya semua berjalan dengan lancar, sukacita saya nak menyatakan bahawa perkhidmatan Aerotrain KLIA akan mula kembali beroperasi dan berkhidmat mulai 10 pagi, 1 Julai 2025 iaitu kira-kira dalam 10 hari lagi,” katanya dalam sidang media selepas meninjau perkhidmatan itu hari ini.
Aerotrain merupakan sistem pengangkutan dalaman utama KLIA sejak beroperasi pada 1998, dan digantung perkhidmatan pada Mac 2023 kerana mengalami kerosakan.
Loke berkata pengoperasian semula Aerotrain amat penting sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) selain mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Menurutnya, setiap tren terdiri daripada tiga koc dengan satu koc mampu memuatkan 90 orang penumpang, menjadikan kapasiti keseluruhan bagi setiap perjalanan mencecah 270 orang.
Bagaimanapun, perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai opsyen kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini.
BACA JUGA Penduduk Perlis, Kedah dan Sabah paling ramai guna bantuan SARA