Apa dia sebenarnya Insentif Cekap Tenaga? Ini penjelasan mudah orang kampung boleh faham

Sebagai langkah mendorong rakyat menggunakan elektrik secara lebih bijak, Suruhanjaya Tenaga (ST) bakal memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga yang menyasarkan 23.6 juta pengguna domestik di seluruh negara.

Menerusi kenyataan rasmi semalam, ST memaklumkan bahawa pengguna domestik yang menggunakan elektrik 1,000 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah tidak akan terkesan dengan pelaksanaan tarif baharu bermula Julai ini.

Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj ke bawah juga akan menikmati manfaat sama melalui insentif tersebut.

“Pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga,” kata ST.

Bagi menggalakkan penggunaan pada waktu yang kurang sesak (luar puncak), ST turut memperluas skim Masa Penggunaan (Time of Use) termasuk:

1. Sepanjang hari pada Sabtu dan Ahad

2. Jam 10 malam hingga 2 petang setiap Isnin hingga Jumaat

Langkah ini bertujuan memberi peluang pengguna menjimatkan bil jika penggunaan dialihkan ke luar waktu puncak.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju mengekalkan kadar tarif khas untuk kategori seperti:

1. Pertanian

2. Perkhidmatan air dan pembetungan

3. Operator rel atau traction

Turut diumumkan, institusi pendidikan, rumah kebajikan dan rumah ibadat berdaftar akan terus menikmati rebat 10%, manakala isi rumah miskin tegar berdaftar e-Kasih kekal menerima bantuan bil elektrik RM40 sebulan melalui Program Rebat Bil Elektrik.

Ini pula penjelasan mudah untuk kita semua faham

1. Guna elektrik bawah 1,000 kWj sebulan?
Anda mungkin tak kena kesan tarif baharu.

2. Guna elektrik waktu bukan puncak (malam & hujung minggu)?
Bil lebih murah.

3. Jimat elektrik, tak boros?
Anda dapat insentif, boleh jimat lebih lagi!

4. B40 miskin tegar & e-Kasih?
Terus dapat bantuan RM40 sebulan.

BACA JUGA Bil lebih jimat mulai Julai? Ini 8 perkara anda perlu tahu tentang tarif elektrik baharu