Ini jawapan AGC kenapa kes SRC Najib tertangguh sejak 2019

Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil menjelaskan kenapa jabatan itu terpaksa memohon penangguhan terhadap kes Datuk Seri Najib Razak sejak 2019 berkait pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd. berjumlah RM27 juta.

Dalam satu kenyataan, AGC menafikan dakwaan bahawa pihaknya melakukan ‘pendakwaan cacat’.

Jelasnya, AGC terpaksa memohon penangguhan untuk menyiapkan dokumen sejak 2019 kerana kes berkenaan memerlukan pemakaian sebahagian dokumen material yang sama dengan perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International (kes SRC International yang pertama.)

Prosiding kes SRC International yang pertama masih berjalan ketika itu di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sehingga selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023.

Memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu sehingga dokumen material berkenaan diperolehi iaitu sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai.

“Perlu ditekankan bahawa dokumen material tersebut telah tersedia namun sedang diguna pakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan.

“Pihak pendakwaan telah memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC ini.

“Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara,” kata AGC. 

BACA JUGA Sinar tersalin profil Johari Abdul untuk KPN baru