Negara dan rakyat tidak perlukan parti baru sekarang, kestabilan kerajaan lebih utama
Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan bahawa tiada keperluan untuk penubuhan parti politik baharu, menegaskan bahawa negara dan rakyat tidak memerlukan tambahan parti buat masa ini.
Beliau berkata, keutamaan kini adalah memastikan kerajaan sedia ada kekal memerintah sehingga habis penggal.
“Saya tak rasa negara dan rakyat perlukan satu parti baharu dalam masa terdekat. Ini bukan soal orang minat atau tidak dengan parti-parti yang ada sekarang.
“Sebab paling penting untuk negara dan masyarakat ialah kita perlu kekalkan kestabilan. Kerajaan tak boleh bertukar-tukar seperti yang berlaku sebelum ini.
“Jadi, biarlah kerajaan yang ada itu terus memerintah kerana akhirnya kuasa itu akan kembali kepada rakyat juga dua tahun dari sekarang,” katanya dalam podcast Yang Berhenti Menteri semalam.
Katanya, kerajaan perlu diberi ruang untuk dinilai prestasi dalam suasana politik yang lebih stabil, bukannya terus-menerus diganggu dengan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan pentadbiran negara.
“Dari segi manfaat dan keburukan, kalau berlaku ketidakstabilan sekarang, perkara itu lebih buruk kepada masyarakat. Negara kita sedang melalui tempoh mencabar dan memerlukan kestabilan politik supaya kita boleh hadapi cabaran ekonomi dunia dengan baik.
“Dua tahun setengah dari sekarang kalau rakyat rasa ada pasukan lebih baik untuk mengambil alih, itu keputusan rakyat. Tapi saya rasa rakyat pun dah tak mahu lalui semula suasana politik yang toksik seperti dulu,” katanya.
Tambahnya, sebarang usaha menubuhkan parti baharu ketika ini hanya akan mengalihkan perhatian dan merumitkan usaha kerajaan membaik pulih ekonomi dan kepercayaan rakyat.
“Kalau saya pun jadi rakyat biasa, saya rasa kalau ada parti baharu dan sebagainya, itu hanya akan jadi satu gangguan. Saya faham perasaan, terutama di peringkat akar umbi PKR yang kecewa dan banyak yang tanya boleh tak kita buat parti baharu dan sebagainya.
“Tapi macam saya kata, ini bukan soal mahu atau tidak. Ini soal perlu atau tidak. Orang kata, ikut rasa binasa, ikut hati mati. Saya fikir kita perlu pertahankan kestabilan,” katanya.
BACA JUGA Apa dia sebenarnya Insentif Cekap Tenaga? Ini penjelasan mudah orang kampung boleh faham