PKR kesal maklumat salah, KPN baharu tak pernah ada jawatan dalam politik

PKR menyatakan rasa kesal terhadap kesilapan dilakukan sebuah portal berita tempatan berhubung paparan infografik Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh menegaskan, Mohd Khalid tidak pernah menjadi anggota parti itu apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan parti.

Walaupun portal terbabit telah mengeluarkan kenyataan ralat, beliau berpendirian bahawa kesilapan tersebut amatlah tidak wajar berlaku.

“Maklumat yang dipaparkan adalah menyeleweng, malah jauh berbeza dari maklumat yang sepatutnya tertera di kolum tersebut.

“Ianya merupakan satu fitnah ke atas beliau. Profil yang salah pula telah tersebar meluas dan mungkin dipercayai oleh segelintir pihak.

“Kaitan kepada parti politik boleh mencemarkan imej serta kredibiliti Ketua Polis Negara,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Fuziah berpendapat, kesilapan tersebut boleh meninggalkan persepsi negatif keatas PKR sebagai parti pemerintah sekiranya ada yang mempercayai bahawa lantikan tersebut telah dibuat atas dasar lantikan politik.

“Dengan demikian, PKR menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak penerbit Sinar Harian. Keputusan siasatan di war-warkan dan tindakan sewajarnya diambil keatas individu yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Terdahulu terdapat kesilapan pada infografik KPN baharu yang diterbitkan sebuah portal.

Bagaimanapun portal itu telah membuat permohonan maaf mengenai kesilapan profil yang diterbitkan.

BACA JUGA Sinar tersalin profil Johari Abdul untuk KPN baru