Iran diberi dua pilihan, keamanan atau tragedi, kata Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberikan dua pilihan kepada Iran susulan pengeboman Fordo, Natanz dan Esfahan malam tadi.
Pilihan tersebut ialah keamanan atau tragedi untuk Iran sekiranya Tehran mempertimbangkan untuk bertindak balas.
Beliau berkata bahawa AS tidak akan teragak-agak untuk menyerang sasaran lain di Iran sekiranya keamanan tidak kembali segera di Timur Tengah.
“Akan ada keamanan atau tragedi untuk Iran, yang jauh lebih besar berbanding dengan apa yang kita saksikan selama lapan hari ini.”
Trump mengakui serangan ke atas tiga kawasan tersebut adalah yang paling merbahaya tetapi turut mengakui “terdapat banyak lagi sasaran.”
“Jika keamanan tidak datang cepat, kita akan sasarkan yang lain dengan ketepatan, kelajuan dan kemahiran.”
Trump juga menyifatkan Iran sebagai “pembuli di Timur Tengah” dan serangan akan berlanjutan sekiranya ia tidak mencari jalan perdamaian.
Trump menyifatkan pengeboman tiga kawasan tersebut sebagai langkah penyelesaian masalah lama dengan objektif menghalang Iran menghasilkan senjata nuklear.
“Selama 40 tahun, Iran berkata hancur Amerika, hancur Israel. Mereka membunuh orang kita, meletupkan tangan dan kaki mereka dengan bom tepi jalan.”
BACA JUGA: Trump sahkan penyertaan AS dalam konflik Iran-Israel, bedil tiga kawasan