Tiga sebab sidang khas parlimen diperlukan berhubung konflik Iran-Israel, menurut Mahfuz

Naib presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan sidang khas parlimen.

Beliau mahu sidang khas parlimen diadakan untuk membincangkan perkembangan konflik Iran-Israel dan pembabitan Amerika Syarikat.

Ia ekoran pengeboman Amerika ke atas tiga kawasan yang menjadi tapak nuklear Iran iaitu Fordo, Natanz dan Esfahan.

Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai kubu pertahanan bawah tanah dengan kemudahan pengayaan uranium Iran.

Beliau mengemukakan tiga sebab sebagai asas untuk sidang khas tersebut diadakan.

“Sehubungan itu, saya mendesak supaya Parlimen Malaysia mengadakan satu sidang khas tergempar bagi membincangkan pendirian rasmi Malaysia dalam konflik ini serta tindakan diplomatik yang sewajarnya.”

Mahfuz juga mahu parlimen meneliti kesan geopolitik dan ekonomi kepada negara, termasuk rantaian bekalan, harga minyak dan keselamatan serantau.

Sebab ketiga yang dikemukakan ialah tindakan kemanusiaan yang boleh diambil oleh Malaysia untuk membantu rakyat Iran yang menjadi mangsa konflik.

Mahfuz turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berkecuali dan bermaruah perlu konsisten menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan, dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Kita juga bertanggungjawab untuk meneruskan peranan aktif dalam menggerakan keamanan global melalui peranan dalam PBB,OIC, NAM dan ASEAN.

“Saya percaya rakyat Malaysia menolak segala bentuk keganasan dan menyokong penyelesaian damai.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik kita untuk memastikan suara negara ini disuarakan dengan jelas dan bermaruah di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat kedua Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 21 Julai selama 24 hari.

BACA JUGA: Trump sahkan penyertaan AS dalam konflik Iran-Israel, bedil tiga kawasan