Himpunan Turun Anwar pada bulan hadapan tak lebih dari gimik politik pembangkang
Exco Pemuda AMANAH Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan Himpunan Turun Anwar yang bakal berlangsung pada bulan hadapan sebagai tidak lebih daripada gimik politk sahaja.
“Kami melihat Himpunan Turun Anwar bukan sebagai suara rakyat, tetapi gimik politik daripada kekecewaan segelintir pimpinan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ketika rakyat sedang menikmati hasil pemulihan negara, mereka memilih jalan pesimis yang tidak selari dengan realiti.
“Kami melihat himpunan ini bukan desakan rakyat tetapi helah politik untuk menutup kegagalan sendiri. Ketika rakyat perlukan kestabilan dan solusi, mereka diajak turun ke jalan dengan retorik kosong.
Himpunan Turun Anwar anjuran Pas dijadualkan berlangsung pada 26 Julai di Kuala Lumpur
Mengukuhkan lagi kenyataannya, Fadhli membandingkan prestasi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan kerajaan di bawah Perikatan Nasional.
“Di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menunjukkan kemajuan. KDNK suku pertama 2025 berkembang 4.4%, inflasi kekal rendah sekitar 1.4%, dan kadar pengangguran menurun ke paras 2.9%, terendah sejak pandemik. Penjimatan lebih RM4 bilion hasil rasionalisasi subsidi telah diagih semula kepada golongan rentan.
“Isu harga telur yang dulu mencetus panik kini terkawal. Di bawah Kementerian Pertanian yang diterajui YB Mohamad Sabu, harga telur distabilkan sekitar RM0.42 sebiji dan bekalan kembali stabil jauh lebih baik berbanding zaman PN memerintah.
“Era pemerintahan Pas dan Perikatan Nasional (2020–2022) pula menyaksikan dasar ekonomi bercelaru, pelabur lari, dan tiada halatuju jangka panjang. Negeri-negeri di bawah Pas kekal ketinggalan dalam banyak indikator sosio-ekonomi.
“Ironinya, sehingga kini Perikatan Nasional masih gagal menamakan calon Perdana Menteri mereka. Himpunan ini pula hanya digerakkan oleh Pas.
“Adakah ini petanda bahawa Pas mula meninggalkan Bersatu? Adakah Dr. Sam kini calon PM dalam senyap?” soalnya, merujuk kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pas turut dicabar berdebat secara terbuka berdasarkan fakta sekiranya ia yakin kerajaan Madani gagal.
“Kami mencabar pimpinan PAS, jika benar yakin kerajaan ini gagal, tampil ke pentas debat terbuka.
“Jangan sembunyi di balik ceramah. Mari bicara dasar, data dan halatuju secara terbuka di hadapan rakyat.”
BACA JUGA: Padah maki PM, Agong dan KPN baharu, lelaki ini dapat ‘habuan’ empat hari